
KOTA KINABALU – Polis dari Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Inspektor Maidon Bernadus, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa penggunaan patung dalam simulasi kes Zara Qairina Mahathir tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar sepenuhnya.
“Kita guna patung berbanding dengan benda hidup.
“Ia tidak semestinya menggambarkan 100 peratus dengan keadaan sebenar, tetapi lebih kurang,” katanya.
Beliau menjawab demikian ketika ditanya peguam pihak berkepentingan, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, sama ada penggunaan patung itu boleh dianggap menyerupai keadaan sebenar.
Dalam pada itu, Maidon, saksi kelima prosiding, turut mengakui beliau bukan pakar biomekanik atau memiliki kepakaran dalam bidang berkenaan.
Itu keterangan yang dikemukakan semasa prosiding hari kelima inkues di Mahkamah Koroner, di sini, pada Rabu, selepas disoal balas oleh peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu arwah, Noraidah Lamat.
Dalam sesi soal jawab itu, Shahlan bertanya sama ada pasukan forensik mempunyai pengetahuan mengenai bidang ‘fall biomechanics’ (jatuhan biomekanik).
Shahlan kemudian bertanya sama ada lebih tepat sekiranya proses bina semula itu disemak oleh pakar bebas atau pakar biomekanik.
Menjawab soalan itu, Maidon berkata sebarang rekonstruksi di tempat kejadian perlu mendapat arahan daripada pegawai atasan sekiranya mahu melibatkan pakar bebas atau pakar biomekanik.
Prosiding inkues kes kematian Zara Qairina akan bersambung esok dengan lawatan locus in quo di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada sebelah pagi.
Selepas itu, prosiding di Mahkamah Koroner akan diteruskan dengan keterangan saksi iaitu pakar forensik, Dr Jessie Hiu dan pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansoding @ Jaliha.








