
KANGAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mengurus dan membantu 10 usahawan negeri itu mencatatkan jualan hampir RM400,000 semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang melabuhkan tirainya semalam.
Pengarah FAMA negeri, Mohd Anzara Azizan berkata, 10 usahawan dari Perlis itu berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM394,787.40 melepasi sasaran jualan yang ditetapkan iaitu RM200,000 hingga RM250,000 sepanjang MAHA 2024 berlangsung.
“MAHA 2024 menyaksikan seramai 10 orang usahawan Perlis menyertai jualan melibatkan 13 lot jualan di Pavilion Negeri, Kingdom Of Agrofood, Food Empire & Viral dan Foodtruck Fiesta.
“Nilai jualan kluster Pavilion Negeri mencatatkan RM206,271.40; Kingdom Of Agrofood (RM39,995.20); Food Empire & Viral (RM95,445.80); Foodtruck Fiesta (RM19,364.80) dan Agrobazaar Online (RM33,711),” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 47 jenis produk ditawarkan melibatkan produk Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) serta makanan dan minuman keluaran negeri Perlis.
Menurut Mohd. Anzara lagi, MAHA 2024 salah satu platform untuk FAMA
berusaha lebih kuat bagi memperkenalkan produk keluaran Perlis kepada pengguna di luar Perlis.
“Menerusi MAHA, dapat dilihat produk-produk keluaran negeri Perlis mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengunjung,” ujarnya.
Tambahnya, kepada pengunjung dan orang ramai yang ingin mendapatkan produk-produk keluaran Perlis yang
dibawa ke MAHA 2024, mereka boleh mendapatkannya secara dalam talian melalui portal Agrobazaar Online.



