TAWAU – Sebanyak 13 kes pelanggaran serius di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di Sabah dibawa ke mahkamah sebagai tanda keseriusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan pelaksanaan penguatkuasaan akta itu sejak 1 Oktober lepas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada 966 kesalahan tidak boleh dikompaun di seluruh negara, sebanyak 13 kes direkodkan di Sabah, 16 kes di Sarawak dan 17 di Labuan.
“Kes berkenaan termasuk aktiviti pengiklanan, pempameran dan penjualan produk merokok kepada individu bawah umur 18 tahun.
“Ini membuktikan KKM memandang serius pelanggaran undang-undang berkaitan penjualan dan promosi produk merokok termasuk vape demi melindungi kesihatan awam khususnya orang belum dewasa (OBD),” katanya kepada media selepas melakukan lawatan penyeliaan penguatkuasaan Akta 852 di sekitar bandar Tawau, pada Rabu.
Menurut Dr Dzulkefly, bagi kesalahan tidak boleh dikompaun, notis dikeluarkan untuk individu atau syarikat hadir ke mahkamah bagi menentukan hukuman berdasarkan keputusan hakim.
“Kita kini berada dalam fasa pelaksanaan menyeluruh, bukan sekadar larangan merokok, tetapi meliputi pendaftaran, penjualan, pengiklanan serta pengawalan produk.
“KKM akan terus bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang ingkar dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pegawai Kesihatan Persekitaran dan pasukan penguat kuasa yang komited dalam melaksanakan tugas di lapangan.
“Saya tahu kerja penguatkuasaan ini bukan mudah, tetapi mereka komited dan turun padang hampir setiap hari.
“Kita akan terus perbaiki kelemahan dan memperkukuh pelaksanaan bagi memastikan matlamat Akta 852 tercapai,” ujarnya.






